Berkatalah rasul. “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku mengambil AlQuran ini sebagai sesuatu yang tidak dipedulikan”.
Surah Al-Furqan 25 ayat 30
Kata mengaji berasal dari kata akar kaji, bermaksud perbuatan mempelajari sesuatu dengan teliti sehingga memahaminya.
Namun makna asal mengaji pada hari ini digantikan dengan kata mendaras atau tadarus. Manakala mengaji pula dimaknai sebagai membaca sahaja tanpa memahami. Tetapi yang hairannya kata tadarus juga hari ini dimaknai sebagai sekadar belajar membaca.
Betulkah itu mengaji yang dimaksudkan? Cuba perhatikan ayat AlQuran di atas.
Ayat di atas menceritakan tentang kaum rasulullah yang menyesal kerana tidak mengikuti seruan baginda untuk mengambil AlQuran sebagai panduan hidup, ketika kebenarannya telah jelas.
Sehingga apabila kerajaan Islam tertegak di Madinah, mereka menyesal kerana telah mengikut teman mereka yang menghasut sehingga mereka tersesat.
Kenapa demikian kesudahan mereka? Rasulullah menjawab, kerana mereka sesungguhnya atau benar-benar tidak mempedulikan AlQuran.
Kata mahjura pada ayat secara istilah bererti sesuatu yang dijauhkan atau dihindari atau diketepikan. Sama erti asal dengan perkataan hijrah.
Adakah itu semua cuma kisah kaum jahiliah Arab Quraish di Mekah dahulu? Tiada kena mengena pun dengan hari ini?.
Jika AlQuran itu panduan hidup manusia, maka semua isi kandungan AlQuran adalah panduan untuk menerangkan kepada manusia bagaimana caranya untuk hidup dengan betul.
Jika kita anggap AlQuran itu hanyalah sebatas kisah dahulukala yang tiada kena-mengena dengan kita pada hari ini, bukankah itu juga termasuk perbuatan menjauhi AlQuran?.
Jika jelas kita termasuk golongan yang menjauhi AlQuran, nescaya kesudahannya juga akan sama seperti kaum rasulullah yang ingkar dulu, akan menyesal akhirnya.
Jadi di mana kita hari ini? Adakah termasuk golongan yang mengambil AlQuran sebagai panduan hidup atau yang menjauhkan AlQuran dari hidup?.
Adakah kita telah pun mengambil AlQuran sebagai panduan bagi diri dan keluarga. Adakah pemerintah telah menjadikannya sebagai sumber perlembagaan dalam masyarakat, pentadbiran, kewangan, ekonomi, pendidikan, kesihatan?
Untuk kenalpasti, cuba jawab soalan-soalan ini.
- Kenapa AlQuran diturunkan?.
- Bagaimana AlQuran dapat berfungsi sesuai tujuannya?.
- Bagaimana kita dapat membezakan sama ada kita telah ambil AlQuran sebagai panduan hidup atau belum?.
- Apakah kesan mengambil atau tidak mengambil AlQuran sebagai panduan hidup?.
- Dan yang terakhir, adakah kebenaran AlQuran telah benar-benar jelas bagi kita?.
Jika sukar mendapatkan jawapannya, mungkin kita juga sedang mengingkari seruan rasulullah supaya menjadikan AlQuran itu sebagai panduan hidup meskipun kita percaya ia adalah panduan hidup kita. Bererti kita termasuk golongan yang menjauhi AlQuran. Padahal semua soalan itu terjawab dengan jelas di dalam AlQuran dan merupakan asas utama untuk memahami petunjuk AlQuran.